Sunday 31 August 2014

rukun negara

PENGENALAN :

Rukun Negara telah diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 sebagai pedoman kepada rakyat Malaysia yang berbilang kaum bagi membentuk perpaduan dan menjamin kesejahteraan masyarakat negara ini . Rukun Negara juga menjadi panduan bagi rakyat Malaysia bertindak dengan memberi penekanan kepada matlamat untuk mewujudkan satu masyarakat yang bersatu , demokratik , adil , liberal dan saintifik .
 
 Sejak kemerdekaan lagi ,seluruh rakyat Malaysia telah menerima Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak istimewa semua kumpulan etnik dan Rukun Negara sebagai panduan kita dalam pembinaan bangsa . Perpaduan negara merupakan tonggak utama Rukun Negara yang bertujuan membina bangsa Malaysia yang progresif dan makmur serta hidup dalam harmoni dengan melibatkan semua pihak secara sepakat dan saksama .
 
Perpaduan negara terus menjadi matlamat pembangunan sosio-ekonomi memandangkan Malaysia mempunyai masyarakat yang berbilang kumpulan etnik,agama,bangsa dan budaya . Untuk menjadi negara yang berdaya tahan dan berdaya saing di arena antarabangsa , perpaduan penduduk Malaysia yang berbagai keturunan merupakan satu pra-syarat yang mesti dipenuhi. Semua dasar , program dan projek akan berpandu kepada keperluan asas ini memandangkan penyertaan yang aktif dan sepenuhnya oleh semua kumpulan etnik serta wilayah adalah penting untuk memastikan kejayaan usaha pembangunan sosio-ekonomi dan pembinaan bangsa .
 
Ketidaksamaan dan ketaksaksamaan di kalangan dan di dalam kumpulan etnik serta wilayah akan dapat diatasi supaya perpaduan bangsa Malaysia terpelihara . Walaupun nilai dan amalan sosial dan budaya menjadi semakin sejagat , rakyat Malaysia mesti memelihara identiti dan warisan negara . Hanya dengan pemeliharaan identiti ini , rakyat Malaysia akan berupaya menghadapi perubahan pantas dan dapat bertahan daripada kesan negatif globalisasi .
 
Semangat patriotik sepatutnya disemai di kalangan rakyat supaya mereka merasa bangga menjadi rakyat Malaysia . Norma dan nilai yang diamalkan lahir dari kesedaran dan falsafah yang berlandaskan Rukun Negara . Oleh itu , agenda utama yang perlu dipupuk untuk dihayati oleh setiap rakyat ialah sifat-sifat yang baik dan berakhlak mulia . Sikap amanah , bertanggungjawab , ikhlas , berdedikasi , tekun , bekerjasama , berbudi mulia dan bersyukur serta menghargai segala pemberian dan kemudahan yang diterima merupakan tonggak utama kepada sikap mulia .
 
Prinsip - prinsip yang terkandung di dalam Rukun Negara jelas merupakan kunci kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini untuk memelihara dan menggalakkan keharmonian dan perpaduan kaum demi kejayaan dan kestabilan Malaysia