PENGENALAN :
Rukun Negara telah diisytiharkan pada
31 Ogos 1970 sebagai pedoman kepada rakyat Malaysia yang berbilang kaum
bagi membentuk perpaduan dan menjamin kesejahteraan masyarakat negara
ini . Rukun Negara juga menjadi panduan bagi rakyat Malaysia bertindak
dengan memberi penekanan kepada matlamat untuk mewujudkan satu
masyarakat yang bersatu , demokratik , adil , liberal dan saintifik .
Sejak kemerdekaan lagi ,seluruh rakyat Malaysia telah menerima
Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak istimewa semua kumpulan etnik
dan Rukun Negara sebagai panduan kita dalam pembinaan bangsa .
Perpaduan negara merupakan tonggak utama Rukun Negara yang bertujuan
membina bangsa Malaysia yang progresif dan makmur serta hidup dalam
harmoni dengan melibatkan semua pihak secara sepakat dan saksama .
Perpaduan negara terus menjadi matlamat pembangunan sosio-ekonomi
memandangkan Malaysia mempunyai masyarakat yang berbilang kumpulan
etnik,agama,bangsa dan budaya .
Untuk menjadi negara yang berdaya tahan dan berdaya saing di arena
antarabangsa , perpaduan penduduk Malaysia yang berbagai keturunan
merupakan satu pra-syarat yang mesti dipenuhi. Semua dasar , program dan
projek akan berpandu kepada keperluan asas ini memandangkan penyertaan
yang aktif dan sepenuhnya oleh semua kumpulan etnik serta wilayah adalah
penting untuk memastikan kejayaan usaha pembangunan sosio-ekonomi dan
pembinaan bangsa .
Ketidaksamaan dan ketaksaksamaan di kalangan dan di
dalam kumpulan etnik serta wilayah akan dapat diatasi supaya perpaduan
bangsa Malaysia terpelihara .
Walaupun nilai dan amalan sosial dan budaya menjadi semakin sejagat ,
rakyat Malaysia mesti memelihara identiti dan warisan negara . Hanya
dengan pemeliharaan identiti ini , rakyat Malaysia akan berupaya
menghadapi perubahan pantas dan dapat bertahan daripada kesan negatif
globalisasi .
Semangat patriotik sepatutnya disemai di kalangan rakyat
supaya mereka merasa bangga menjadi rakyat Malaysia .
Norma dan nilai yang diamalkan lahir dari kesedaran dan falsafah yang
berlandaskan Rukun Negara . Oleh itu , agenda utama yang perlu dipupuk
untuk dihayati oleh setiap rakyat ialah sifat-sifat yang baik dan
berakhlak mulia . Sikap amanah , bertanggungjawab , ikhlas , berdedikasi
, tekun , bekerjasama , berbudi mulia dan bersyukur serta menghargai
segala pemberian dan kemudahan yang diterima merupakan tonggak utama
kepada sikap mulia .
Prinsip - prinsip yang terkandung di dalam Rukun Negara jelas merupakan
kunci kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini untuk memelihara
dan menggalakkan keharmonian dan perpaduan kaum demi kejayaan dan
kestabilan Malaysia
No comments:
Post a Comment